Nancy (kiri) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu, Kota Bharu pada Sabtu. KOTA BHARU - Kerajaan tidak akan terburu-buru membuka pintu sempadan negara ini untuk pelancongan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan Covid-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu dilakukan kerana kerajaan sedang bekerja keras melawan pandemik.
"Buat masa ini, kita jadikan Langkawi sebagai contoh untuk melihat
keberkesanan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti pelancongan antarabangsa.
"Bagi pelancong yang berkunjung ke Langkawi mereka yang masuk ke kawasan itu perlulah lengkap suntikan vaksin Covid-19 untuk dua dos dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Selain itu mereka perlu menjalani ujian saringan kali kedua pada hari ke lima untuk memastikan sama ada berlaku jangkitan atau tidak," katanya semasa merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya serta menyampaikan sumbangan kepada penggiat seni budaya Kelantan di Pasar Terapung Kota Pengkalan Datu di sini pada Sabtu.
Menurutnya, jika SOP Langkawi menunjukkan kejayaan kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk membuka pintu sempadan bagi tujuan pelancongan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata, selain itu MOTAC akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk melihat SOP terbaik dalam mengekang penularan jangkitan.
Nancy berkata, kerajaan perlu berhati-hati kerana masih banyak negara yang sedang berdepan dengan gelombang baharu jangkitan pandemik itu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/169633/BERITA/Nasional/Kerajaan-tidak-terburu-buru-buka-sempadan-Nancy © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
https://www.sinarharian.com.my/article/169633/BERITA/Nasional/Kerajaan-tidak-terburu-buru-buka-sempadan-Nancy